salat time

Tuesday, August 5, 2008

Ketuanan Melayu atau Rakyat?

Mana yang mahu kita pilih, antara perjuangan untuk bangsa ataupun untuk keseluruhan semua kaum tidak kira bangsa ataupun agama, asalkan dia ialah warganegara Malaysia. Terfikir di benak fikiran aku, apabila aku menulis artikel ‘Adakah Hajat DSAI Akan Kesampaian?’, ramai komentar dari rakan-rakan memperkatakan tentang bangsa ini. Kalau dari pendapat aku sendiri, dalam perjuangan di negara kita yang majmuk ini, kita tidak bolehlah terlalu memperjuangkan bangsa sendiri sehingga kita kadang-kadang lupa akan bangsa yang lain dan sepatutnya bangsa melayu, cina, india dan lain-lain bersatu bagi memajukan Malaysia sehingga menjadi negara yang maju dan bermaruah tinggi.

Apabila kita memperjuangan nasib semua bangsa, bukan bermakna kita mengabaikan bangsa kita sendiri. Seperti janji DSAI, biarpun kita memperjuangkan ketuanan rakyat tetapi hak-hak orang melayu yang terkandung di dalam perlembagaan tetap akan dipertahankan. Mengapa kita cukup takut, kalau memperjuangkan ketuanan rakyat, sesetengan kita lupakan akan akar kita, akar bangsa melayu, malah dituduhkan memperduakan bangsa ataupun hendak jual bangsa. Pandangan sempit dan kurang cerdik ini perlulah dibuang sejauh-jauhnya, kita juga perlu bertanyakan kepada diri kita, adakah kita ini sebenar-benarnya masyarakat peribumi Malaysia yang menetap sekian lama disini. Kemungkinan moyang kita juga adalah dari perantauan tetapi berketurunan melayu. Kita telah diperanak-pinakan dalam beberapa keturunan dan begitu juga dengan bangsa lain. Masyarakat Malaysia sekarang sudah lama berada di Malaysia ini, lahir dan membesar di Malaysia ini. Disebabkan ini, mereka juga berhak untuk menuntut bahawa perjuangan dalam Malaysia ini perlu ada kesamarataan jadi perjuangan ketuanan rakyat ini cukup relevan.

Kita sering menyalahkan bangsa lain disebabkan kita masih kebelakang dari segi ekonomi ataupun kehidupan sosial. Kita tidak mahu menunding jari ke atas diri sendiri, kita kurang maju disebabkan kemanjaan kita sendiri. Bangsa lain maju kerana mereka bantu-membantu antara satu sama dan tiada sifat dengki di dalam hati mereka. Itu sebablah mereka memegang ekonomi Malaysia. Sepatutnya kita perlu belajar dari mereka, tidak perlu ada sifat angkuh dek kerana kita masyarakat peribumi, dan mahu menjadi ketua sentiasa. Kadang-kadang kita lupa bahawa dibelakang kita ada orang-orang susah, yang kaya terus menjadi kaya dan yang miskin terus menjadi miskin. Kita hanya tahu, apabila berkuasa dan ada wang, mahu menindas dan mencantas. Sebelum kita menyalahkan bangsa lain, kita perlu muhasabah diri sendiri dahulu.

Ada seorang rakan berbangsa cina, dia berkata, orang melayu cukup untung kerana memperolehi pelbagai keistimewaan, dari kita lahir hingga ke hari tua. Mereka terpaksa berdikari sendiri untuk membuat sesuatu, oleh sebab itulah mereka maju tanpa ada sifat kemanjaan yang berlebihan dan sekirannya mereka berjaya, mereka akan membantu pula orang yang mahu maju seperti mereka. Kita sepatutnya merebut peluang ini, setiap keistimewaan yang diberikan, sepatutnya kita gunakan sebaiknya tetapi sekarang kita hanya seperti menadah tangan tunggu keuntungan datang dengan sendiri tanpa ada usaha untuk mendapatkannya. Di dalam otak mereka tersemat, apa nak ditakut sudah dalam perlembangaan, sesiapa sahaja menjadi Perdana Menteri, mereka berbangsa melayu, jadi mereka beranggapan mereka tidak akan dijajah oleh bangsa lain, itu sebablah mereka semakin lalai.

Kita lalai dengan hiburan yang terlampau. Mari kita selusuri segenap pusat hiburan, berapa ramai anak muda berbangsa melayu beradan disana. Mari kita tengok pula rancangan realiti TV seperti Akademi Fantasia, Jangan Lupa Lirik, Gangstar dan pelbagai lagi, kebanyakan majoriti peserta adalah datangnya dari orang melayu. Hari ini, ibu ayah menangis bukan kerana kejayaan anak dalam menuntut ilmu agama ataupun ilmu yang boleh membangunkan bangsa tetapi menangis disebabkan anak kalah pertandingan menyanyi ataupun tidak cukup bakat untuk memasuki pertandingan tersebut. Mereka lebih suka anak mereka terkenja-kenja ataupun tergedik-gedik di TV sambil ditonton oleh jutaan yang bukan muhrim, alasanya yang penting niat, sebab itulah banyak fahaman dalam Islam niat menghalalkan cara. Bangsa lain sebuk dengan pelajaran mereka supaya satu hari nanti menjadi pemimpin untuk masa depan.

Itu belum lagi, kes-kes perzinaan dan buang anak, kes dadahnya, seperti penceritaan mak saudara aku, seorang guru, pelajarnya baru tingkatan 2 pernah bertanya kepadanya, bagaimana mahu mengelakkan dari berzina, apabila bertanya, adakah kamu tidur bersama, mereka mengakui,pernah. Satu contoh kes yang begitu mendukacitakan kita. Anak muda sebagai pelapis kepimpinan masa depan telah hancur di kala masih muda.

Artikel ini bukan mahu membincangkan tentang kebaikan atau keburukan ketuanan rakyat tetapi mahu mengingatkan kita kembali, kita takut apabila membicarakan tentang perjuangan semua bangsa, kita jadi takut seakan mahu membunuh bangsa melayu tetapi kita tidak pernah terfikir bahawa isu-isu negatif diatas boleh melumpuhkan bangsa melayu itu sendiri. Takut-takut bukan bangsa lain yang menghancurkan bangsa kita tetapi bangsa kita sendiri jatuhkan bangsa kita sendiri. Kita perlu mengubah sebelum menjadi parah. Itu sebablah aku tekankan perjuangan global perlu bermula dari rumah. Kalau ada DEB, biasiswa, kuota di Universiti dan pelbagai lagi keistimewaan seribu tahun lagi pun, kalau bangsa melayu sudah hancur diperingkat awal, kelak siapa akan rugi. Jadi perlu rebut keistimewaan ini untuk menjadi cemerlang, gemilang dan terbilang. Jangan takut dijajah kalau kita boleh menjadi bangsa yang berjaya kelak. Sepatutnya kita bersatu dan bekerjasama dengan semua bangsa, kerana Malaysia ini milik bersama. Apabila nanti bila disoal oleh Allah S.W.T adakah kita seorang yang adil kepada semua bangsa? Semasa itu kita nak jawab apa?Rakan-rakan fikirlah sendiri ….

No comments: